Punca Kegiatan Merokok

Kegiatan merokok ini sering berlaku kepada masyarakat yang tidak mengendahkan tentang bahayanya merokok, bukan saja golongan lelaki malahan juga golongan wanita juga ada yang sudah pandai berjinak-jinak dengan tabiat merokok ini. Terdapat pelbagai punca atau faktor seseorang itu menghisap rokok antaranya,

1. KURANG IKATAN KEKELUARGAAN

Beberapa kajian telah dibuat dan mendapati bahawa peranan keluarga amat penting dalam mendidik anak-anak mereka supaya tidak terjerumus dalam masalah sosial yang sering berlaku pada anak remaja sekarang ini. Ikatan kekeluargaan yang ada sekarang ini semakin berkurangan kerana ibu bapa tidak memberikan sepenuh perhatian kepada anak mereka kerana mereka sering saja sibuk dengan pekerjaan masing-masing. Hal ini menyebabkan anak-anak merasa bosan dan kurang kasih sayang daripada ibu bapa sehingga anak-anak mereka menjadi penghisap rokok kerana tidak seorang pun yang melarang perbuatannya itu.
2. TERLALU BEBAS
Punca seterusnya, tingkah laku anak-anak mereka, terutama yang telah mencapai umur belasan tahun sekarang ini, seolah-olah di luar kekuasaan ibu bapa. Anak-anak remaja terlalu diberi kebebasan oleh ibu bapa atau penjaga untuk melakukan setiap aktiviti. Jadi anak tersebut melakukan sesuatu tanpa pengetahuan dan larangan ibu bapa.

3. IBU BAPA MENGHISAP ROKOK
Selain itu, ada ibu bapa yang menghisap rokok di depan anak-anak mereka. Ini bukan saja menunjukkan contoh yang kurang baik, malah mengajar dan menggalakkan anak-anak mereka supaya berbuat perbuatan yang sedemikian kerana ibu bapa mereka juga melakukan hal yang sama.

4. PERGAULAN DAN PENGARUH RAKAN-RAKAN
Pengaruh dan pergaulan dengan kawan-kawan yang merokok juga merupakan faktor penggalak bagi remaja untuk menghisap rokok kerana jika mereka tidak merokok, mereka akan disisihkan dan dianggap tidak berani.

5. INGIN MENCUBA DAN BERSERONOK
Mereka juga terdorong oleh perasaan ingin mencuba bagaimana rasanya rokok itu kerana golongan remaja sinonim dengan sikap mereka yang ingin mencuba sesuatu yang baru. Bagi remaja khususnya lelaki menganggap dengan merokok dapat menunjukkan kedewasaan atau kematangan mereka sebab itulah mereka merasa bangga apabila menghisap rokok. Ada juga remaja lelaki yang beranggapan mereka merokok sekadar untuk berseronok saja tanpa memikirkan kesan buruk akibat tabiat merokok. Manakala lelaki dewasa merokok kerana sifat ketagihan mereka sehingga ada yang berpendapat rokok sahabat atau kekasih kedua mereka.

6. ROKOK MUDAH DIPEROLEHI
Ada juga berpendapat rokok mudah dibeli disebabkan itu remaja mula dan meneruskan tabiat merokok setiap hari dan juga rokok itu mudah diperolehi dari rakan-rakan yang merokok.

7. TERTEKAN
Tabiat merokok ini juga berlaku apabila merasa tertekan dengan kerja dipejabat atau sekolah, mengantuk dan apabila tiada keyakinan diri terhadap sesuatu perkara.

8. PENGARUH MEDIA MASSA DAN GOLONGAN BERPENGARUH
Selain itu, pengaruh daripada media massa juga memainkan peranan yang penting seperti disiarkan iklan orang merokok dan sebagainya kerana golongan remaja ini mudah terikut-ikut dengan budaya yang diperlihatkan kepada mereka. Golongan berpengaruh seperti ahli politik, artis, doktor dan termasuk pemimpin agama yang merokok memberikan teladan yang negatif kepada masyarakat, ini menyebabkan golongan remaja semakin rancak atau tanpa segan silu menghisap rokok di tempat-tempat awam.

9. GALAKAN PENJUAL ROKOK
Langkah penguatkuasaan oleh pihak kerajaan terhadap larangan menjual rokok kepada remaja bawah 18 tahun adalah lemah atau gagal kerana penjual rokok hanya ingin mengaut keuntungan dalam perniagaan, oleh itu akibat buruk dari perbuatan remaja menghisap rokok tidak dihiraukan. Ini menunjukkan penjual seolah-olah memberi galakan kepad perokok untuk merokok dengan lebih giat lagi. Walaupun penjual tahu pembeli itu di bawah umur tetapi tetap juga dijual kepada pembeli tersebut tanpa menghiraukan larangan kerajaan tentang larangan menjual rokok kepada remaja bawah 18 tahun.

10. MEMBERONTAK ATAU MARAH
Ada juga remaja atau pelajar yang memberontak seperti marah atau tidak puas hati terhadap guru dan sebagainya akan menghisap rokok kerana bagi mereka rokok itu dapat menghilangkan tekanan.

11. MENGURANGKAN BERAT BADAN
Manakala, bagi golongan remaja wanita merokok dapat mengurangkan berat badan bagi yang mementingkan penampilan mereka. Oleh yang demikian, mereka percaya bahawa merokok dapat mengurangkan berat badan mereka. Hal ini disebabkan bagi mereka merokok dapat mengawal selera makan jadi bentuk dan berat badan mereka dapat dikekalkan. Selain itu, golongan wanita hari ini mahu memperjuangkan persamaan taraf. Ini bermakna mereka mahu meletakkan diri mereka setaraf dengan lelaki. Mereka percaya dengan merokok, taraf mereka sama dengan golongan lelaki. Menjadi kebanggaan golongan wanita jika mereka dapat melakukan apa saja yang dilakukan oleh lelaki. Walaupun golongan wanita ini tahu perkara merokok itu merosakkan kesihatan atau tubuh badan mereka.